Khamis, 26 Ramadhan 1446H bersamaan 27 Mac 2025M
Bulan Ramadhan semakin menghampiri penghujungnya namun majlis serta aktiviti keagamaan masih terus giat dijalankan bagi meraih pahala dan keberkatan serta ganjaran dari Allah S.W.T seperti mengadakan majlis Khatam Al-Quran. Khatam Al-Quran begitu sinonim dengan bulan Ramadhan dimana ianya menandakan berakhirnya bacaan Al-Quran sebanyak 30 Juzuk.
Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan juga turut mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadhan bagi tahun 1446H Hijrah bersamaan 2025 Masihi yang diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim dan berkeperluan khas bagi warga Jabatan ini.

Hadir pada majlis yang berlangsung di Dewan Muwafaqah, Ibu Pejabat Jabatan Kemajuan Perumahan, Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan, Awang Haji Mohd Sufri bin Haji Abd Hamid. Juga hadir untuk memeriahkan majlis, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Kemajuan Perumahan.
Majlis dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan diikuti dengan bacaan Takhtim serta Doa Khatam, Doa Tahlil dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pentasmik dan peserta khatam serta penyampaian derma sumbangan daripada pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Perumahan yang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan kepada seramai tiga belas orang anak yatim dan sepuluh orang anak berkeperluan khas sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma.

Majlis Khatam Al-Quran adalah merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan Jabatan Kemajuan Perumahan yang antara lain tujuannya ialah untuk memupuk serta membudayakan amalan membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian di kalangan warga Jabatan.